Pages Menu
TwitterRssFacebook
Categories Menu

Sejarah Sekolah

 

SEJARAH AWAL

Pada awal tahun 1970an, Seksyen 14 berkembang pesat sebagai kawasan perumahan. Dengan itu, penduduknya bertambah, bilangan anak-anak yang bersekolah menengah juga meningkat. Dirasakan kawasan ini perlu mempunyai sekolah menengah, lebih-lebih lagi sekolah khas untuk anak-anak perempuan. Pada masa itu, pelajar-pelajar perempuan yang menuntut di sekolah menengah terpaksa berulang-alik ke Sekolah Menengah (P) Taman Petaling yang terletak agak jauh dari Seksyen 14. Memandangkan adanya keperluan seperti ini, pihak kerajaan telah mendirikan sebuah sekolah menengah untuk pelajar perempuan di kawasan Seksyen 14. Pada mulanya, sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Seksyen 14. Ianya telah dibuka pada 9 haribulan Ogos 1971. Seramai 416 orang murid telah dipindahkan ke sekolah ini dari Sekolah Menengah (P) Taman Petaling. Turut dipindahkan dari sekolah yang sama adalah 13 orang guru. Seorang lagi guru ditukarkan dari Sekolah Menengah Jalan Cheras, Kuala Lumpur. Murid-murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 tidak dipindahkan kerana pada ketika itu sudahpun masuk penggal persekolahan yang ketiga yang sudah menjelang peperiksaan L.C.E dan H.C.E. bagi tahun 1971. Guru besar yang pertama, Cik Jeanette Lim Leong Huan, telah memainkan perana penting dalam hal penyemaian identiti sekolah ini dengan mewujudkan bentuk lencana sekolah dengan kata-kata hikmatnya “Menuju ke Medan Jaya” yang kemudiannya diubah kepada “Berusaha ke Medan Jaya”. Beliau juga telah memilih warna ungu dan kuning sebagai warna sekolah.

PERISTIWA-PERISTIWA BERSEJARAH

Penubuhan 1971 Sekolah Menengah (P) Sri Aman telah ditubuhkan pada bulan Ogos 1971. Tiada perasmian sekolah dilakukan pada ketika itu tetapi sekolah telah menyambut ulang tahun yang ke-10 dan pembukaan rasmi dewan dengan meriahnya pada 1982.

Sukan Tahunan Pertama – 1972

Sukan Tahunan yang pertama diadakan pada penggal pertama tahun 1972. Pengetua pada ketika itu ialah Cik Jeanette Lim. Oleh sebab masih baru untuk menjayakan sukan ini, pihak sekolah telah menerima bantuan teknik daripada guru-guru Sekolah Tinggi Kelang. Acara sukan itu telah dibuka dengan rasminya oleh Pengarah Pelajaran Selangor, Encik Yap Hong Guan.

Pestaria 1973 dan 1974

Sewaktu Puan C.P.L. Wong menjadi Pengetua, dua pestaria (food fair) telah diadakan. Tujuannya ialah untuk mengumpul wang bagi pembinaan dewan sekolah. Idea menubuhkan dewan itu datangnya daripada Pn. C.P.L. Wong sendiri. Pihak sekolah berjaya mengumpul beberapa ribu untuk tujuan itu. Walau begaimanapun, pembinaan dewan terpaksa ditangguhkan kerana pihak kerajaan berpendapat bahawa adanya projek-projek lain yang lebih diutamakan, misalnya pembinaan sekolah-sekolah baru.

Penubuhan Kelas Tingkatan Enam Rendah 1979

Tingkatan Enam Rendah diadakan pada penggal dua tahun 1979. Murid-muridnya kira-kira 10 orang. Peratus kelulusan kumpulan pertama ini dalam STPM 1980 ialah 54.5% tetapi pada tahun 1987, peratus kelulusan untuk STPM meningkat 100%.

Ulang Tahun ke-10 dan Penubuhan Rasmi Dewan Sri Aman 1982

Penubuhan rasmi Dewan Sri Aman diadakan pada 28/8/82 (beserta dengan Hari Ucapan). Tetamu Kehormat di majlis itu ialah Datuk Dr. Sulaiman Hj. Daud. Beliau juga telah menyampaikan hadiah-hadiah kepada murid-murid yang berjaya dalam bidang pelajaran dan kegiatan kokurikulum.

Pembukaan Rasmi Perpustakaan Sri Aman 1984

Perpustakaan Sri Aman yang baru telah dibina untuk menggantikan perpustakaan yang lama. Perpustakaan yang baru lebih luas dan lebih ramai murid boleh menggunakannya. Pembukaan rasmi dilakukan oleh Y.B. Dato Khalil Yaakob, Timbalan Menteri Pelajaran pada Mei 1984.